[INFOGRAFIK] PEMAKANAN SUNNAH UNTUK ANAK BIJAK

Assalammualaikum…..selamat malam mommies…..

Setiap ibu bapa mengharapkan anak yang bijak. Bijak dari segi rohani juga jasmani. Bijak mengawal emosi dan bijak dalam pelajaran. Saya kongsikan pemakanan sunnah yang sememangnya diketahui membantu kecerdasan anak-anak. Jom kita lihat infografik di bawah.

Infografik Pemakanan Sunnah
Infografik Pemakanan Sunnah

 

1) BADAM/ ALMOND

Merupakan makanan wajib bagi para hufaz di negara Timur Tengah. Terkenal dengan kandungan minyaknya. Cuba tengok bentuk buah badam tersebut, mempunyai garisan seakan-akan bentuk otak manusia. Jadi, mommies boleh memberi anak-anak kacang badam setiap hari sekurang-kurangnya tiga biji sehari. Walaupun harganya sedikit mahal, tetapi untuk kecerdasan minda anak-anak tidak mengapa.

2) MADU

Madu terkenal dengan kandungan gula ringkas yang boleh diserap oleh tubuh badan dengan cepat sekaligus membekalkan tenaga berpanjangan kepada seseorang individu. Para penyelidik juga menyarankan pengambilan madu untuk kecerdasan otak. Sabda Rasulullah s.a.w. Barangsiapa yang menjilat Madu sebanyak tiga kali pagi setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar (penyakit yang berbahaya) (Riwayat Ibnu Majah). Saya sendiri menggemari madu dari kecil dan dididik oleh emak dan ayah untuk meminum madu. Tetapi saya tidak mengambil madu pada setiap hari. Mommies boleh cuba memberi madu kepada anak-anak untuk kecerdasan minda dan tenaga mereka.

3) MINYAK ZAITUN

Ekstrak daun zaitun akan melancarkan penghantaran nutrien-nutrien daripada kurma, kismis, badam, minyak ikan dan madu ke dalam darah dan seterusnya ke otak. Ia juga adalah anti bakteria, anti fungus dan anti virus.

Pohon Zaitun adalah pohon yang diberkati seperti sabda Rasulullah s.a.w. “Gunakan sari zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati’ Riwayat at Tarmizi dan Ibnu Majah”

Maka, mommies boleh menggunakan minyak zaitun untuk meningkatkan penyerapan makanan sunnah yang lain.

4) MINYAK IKAN

Pengambilan minyak sememangnya sangat membantu dalam perkembangan otak anak-anak. Oleh sebab itu, mommies digalakkan mengamalkan pengambilan minyak ikan semenjak  hamil lagi. Namun begitu, mommies perlu bijak memilih kerana terdapat pelbagai jenama di pasaran. Pilih minyak ikan yang mengandugi EPA dan DHA yang bersesuaian dengan perkembangan minda anak-anak. Selain membantu perkembangan minda anak, minyak ikan dapat melancarkan perjalanan darah dalam tubuh manusia dan menyihatkan fungsi jantung.

5) KISMIS

Khasiat kismis memang tidak boleh disangkal lagi sehingga wujud jenama KISMIS MINDA. Semestinya kismis mampu meningkatkan daya ingatan dan fokus anak mommies. Saya juga semasa kecil mengamalkan pengambilan kismis. Setiap hari saya akan mengambil 7biji kismis dan makan disertai dengan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. Jadi, mommies pun boleh berikan kismis kepada anak-anak untuk kecerdasan minda mereka selain rasanya yang enak memang menepati cita rasa anak-anak.

6) KURMA

Merupakan makanan ruji rakyat di negara Timur Tengah yang membantu merangsang perkembangan minda mereka. Kurma membantu meningkatkan daya ingatan, maka lahirlah ramai hufaz dari kalangan rakyat Timur Tengah. Kurma bukan sahaja menjadi juadah berbuka puasa, tetapi boleh dijadikan makanan harian kerana dapat membekalkan tenaga yang berpanjangan. Mommies boleh menggalakkan anak-anak untuk mengambil sebiji kurma setiap hari di waktu pagi sebelum ke sekolah. Semoga mereka dapat fokus di dalam kelas dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan.

7) BUAH TIN

Buah tin terkenal di negara Timur Tengah kerana rasanya yang sedap dan khasiatnya. Di dalam al-Quran juga ada menyebut tentang khasiat buah tin.

Allah berfirman “Demi buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan Negeri (Makkah) yang dijadikan aman..” Al Quran (95) Surah At Tiin (Ayat 1).

Sabda Rasulullah s.a.w.
Makanlah kamu semua darinya (Buah Tin), sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku kata ‘inilah buahnya’. Ini kerana buah syurga tiada keraguan. Sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan manfaat bagi sendi-sendi” Hadis riwayat Abu Daud, Abu Darda, Suyuti.

Mommies boleh juga memberi buah tin kepada anak-anak untuk merangsang minda mereka. Isinya yang kering, dan berbiji-biji boleh menarik perhatian anak-anak.

8) HABBATUS SAUDA’

Habbatussauda’ atau lebih dikenali oleh masyarakat Melayu sebagai jintan hitam terkenal dengan khasiatnya dalam menyembuhkan pelbagai penyakit. Habbatussauda’ ini boleh dikisar dan dijadikan minuman. Juga boleh didapati dalam bentuk kapsul. Saya sendiri mengamalkan pemakanan Habbatussauda’ semasa belajar dahulu kerana khasiatnya yang memberi tenaga berpanjangan, mengelakkan keletihan dan kelesuan dan  meningkatkan fokus di dalam kelas.

Mommies boleh berikan habbatussauda’ ini kepada anak-anak juga. Seeloknya cari yang asli dari negara Timur Tengah dan telah dibentuk dalam kapsul supaya lebih mudah untuk dimakan.

9) AIR SURAH TAHA

Surah Taha ayat 1-5 merupakan ayat pelembut hati untuk anak-anak. Bukan sahaja anak-anak, malahan untuk sesiapa juga boleh. Apabila dibacakan ayat tersebut dan diberikan air kepada mereka, hati mereka akan dilembutkan dengan izinNya. Ia juga merupakan ayat Nabi Musa a.s untuk memohon kebijaksanaan.

Ayat pelembut hati ini, mommies boleh lihat di doa pelembut hati anak.

Semoga artikel ini memberi manfaat untuk mommies semua. 🙂

Selamat Beramal!!!

Jemput share untuk sebarkan ilmu dengan insan lain 🙂

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


CommentLuv badge